Wednesday, 8 October 2014

Bahagian novel: Pengajaran Merenang Gelora

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya ingin berkongsi karangan saya untuk novel Merenang Gelora. Saya telah menulis karangan ini semasa peperiksaan percubaan dan telah memperoleh 10/10 markah. Sebenarnya bahagian novel ni senang je, cuma kena asah minda sikit nak ingat bende2 tu semua. 

---

 

Soalan:

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tiga pengajaran yang diperoleh pembaca daripada novel tersebut. [10 markah]

      Berdasarkan novel Merenang Gelora oleh Ruslan Ngah yang telah saya kaji, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diperoleh pembaca daripada novel tersebut.


      Antara pengajaran tersebut ialah kita hendaklah berani untuk memberikan maklumat yang benar. Contohnya, Siew Mei memberanikan diri untuk memberi maklumat benar mengenai masalah disiplin di sekolah kepada Badri. Seterusnya, kita haruslah rajin untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan. Contohnya, Badri dan Siew Mei gigih berusaha sehingga mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Akhir sekali, kita sewajarnya taat kepada perintah ibu bapa bagi mencapai kejayaan. Contohnya, Meng Kong akur akan perintah bapanya untuk menghantarnya ke asrama.

(92 patah perkataan)

Karangan Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Saya ingin berkongsi karangan yang saya tulis di sekolah semalam. Kami sekelas diarahkan untuk menulis karangan bahagian D di sekolah selama 40 minit tanpa rujukan atau bantuan. Kononnya tengah examlah, maklumlah peperiksaan PT3 akan berlangsung minggu depan.

---

Soalan karangan bahagian D :
Perpaduan kaum dalam sesebuah negara amat penting dalam menjamin kesejahteraan negara. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

      Perpaduan kaum merupakan aspek yang paling asas dalam membangunkan sebuah negara yang berbilang kaum. Hal demikian kerana kerjasama dan dorongan daripada masyarakat adalah kunci dalam merealisasikan sebuah negara yang aman, harmoni, maju dan selamat. Terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan bagi memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

      Antara usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat ialah sistem persekolahan yang berbilang kaum. Di Malaysia, kebanyakan sekolah menjalankan sistem sekolah kebangsaan yang membenarkan masyarakat daripada pelbagai kaum belajar dalam suatu sistem yang selaras. Usaha tersebut dilihat berkesan dalam memupuk perpaduan kaum kerana masyarakat daripada pelbagai kaum berpeluang untuk berinteraksi antara satu sama lain tanpa menghiraukan perbezaan kaum, bangsa, agama dan warna kulit.

       Seterusnya, usaha untuk memupuk perpaduan kaum yang berkesan adalah perkejaan yang tidak mengira kaum dan bangsa. Pekerjaan seperti kerani, doktor, dan peniaga menyumbang kepada perpaduan kaum kerana pekerja-pekerja dapat memberikan kerjasama dalam melakukan tugas mereka bersama-sama seperti bersatu padu kita teguh, bercerai kita roboh. Usaha tersebut dilihat berkesan kerana secara tidak langsung, mereka dapat memberikan kepercayaan serta mengeratkan hubungan rapat diantara kaum.

      Selain itu, usaha lain dalam memupuk perpaduan kaum adalah sambutan-sambutan seperti Deepavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Kebiasaannya, majlis-majlis tersebut diadakan besar-besaran di seluruh Malaysia. Pelbagai jenis aktiviti dapat diadakan bagi menyambut majlis-majlis tersebut seperti pada Hari Raya, kanak-kanan daripada setiap kaum berpeluang untuk turut serta dalam mengutip duit raya bersama-sama serta bermain bunga api pada waktu malam. Sejurus dengan itu, mereka dapat memupuk kepercayaan dalam diri masing-masing dan bergembira bersama-sama.

      Kesimpulannya, perpaduan kaum ialah perkara yang amat penting dalam menjamin kesejahteraan negara. Oleh sebab itu, wajarlah kita mengambil langkah dalam membantu memupuk perpaduan kaum bak kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

---

Karangan saya ni pendek je, x perlu panjang2. Macam ni pun dah kira bagus. Masa cikgu semak, saya dapat markah 19/20. Haa, In Sya Allah kamu pun akan dapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum.